Monday, November 30, 2009

zikir...sejauh manakah kita mengamalkannya dalam kehidupan


Jiwa orang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: “Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?”

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji.

Friday, November 20, 2009

Kearah menjana masyarakat berintelektual

Salam keilmuan kepada peneroka minda yang setia memartabatkan ilmu..

Bermula kini era kepesatan kemajuan dalam pelbagai sudut,dunia membicarakan betapa pentingnya daya pemikiran dan tindakan dalam mengagaskan negara maju dan kehadapan.Kerana keupayaan manusia terhad dalam berfikir tetapi disebalik itu keajaibannya ialah mampu untuk melangkaui zaman dan masa dalam mencipta idea yang kadang tidak mampu difikir oleh sesetengah orang.Dalam ruangan ini,ingin kita bincangkan dalam konteks menjana masyarakat berintelektual...

Dan ruangan ini saya tonjolkan dan membicarakan sebuah buku yang dikarang oleh ilmuan terulung iaitu Syed Hussein Alatas yang bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun....

Kaum Intelektual


Memetik kata-kata Syed Hussin Al-Attas : “Salah satu masalah utama yang berlaku dalam masyarakat berkembang adalah KEMALASAN INTELEKTUAL

Salah satu krisis yang paling kerap diperkatakan dewasa ini adalah adalah kegagalan universiti memainkan peranan untuk memperkembangkan pemikiran intelektual dikalangan mahasiswa. Salah satu punca yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah proses pemetaan atau compartmentalisation yang keterlaluan terhadap konsep dan fungsi ilmu pengetahuan bagi memenuhi tujuan gunaan, yakni profesion pekerjaan yang bermatlamatkan pulangan ekonomi sehingga menghakis nilai sebenar ilmu.

Dalam hendak membicarakan persoalan-persoalan diatas, mari kita merenung sejenak definisi yang diberikan oleh syed Hussin Al-Attas berkenaan intelektual.

“Intelektual adalah orang yang mengabdikan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akliah.”

Merujuk kepada definisi di atas, kita dapat melihat bahawa memiliki kelayakan akademik dan mempunyai gelaran sebagai contoh gelaran sebagai seorang professor masih belum layak untuk menggelarkan seseorang itu sebagai seorang Intelektual. Syed Hussin Al-Attas telah mengambil satu model tokoh iaitu Herbert Spencer. Walaupun beliau tidak mempunyai kelayakan akademik tetapi diiktiraf sebagai salah seorang intelektual pada zamannya.

Di samping itu juga, Syed Hussin Al-Attas tidak terlepas pandang untuk mengkritik sikap kebodohan berpanjangan yang telah melanda masyarakat hari ini :

“Jika ada bahaya kerana seorang menyimpang dari ajaran yang benar, maka bahaya itu pertama-tama terletak pada kejahilan. Tentu sahaja pertumbuhan pengetahuan rasional tidak menyelamatkannya, tetapi ia melindungi pengetahuan palsu…..Fikiran yang jahil sekalipun disertai dengan keyakinan hati nurani yang paling tulus, akan melahirkan iri hati yang tidak rasional yang merupakan sumber penyimpangan fikiran dan keyakinan”

Banyak lagi persoalan-persoalan ilmiah yang telah dikupas dengan baik oleh Syed Hussin berkenaan masyarakat hari ini yang jelas masih kabur tentang makna sebenar Intelektual dan menggunakan istilah-istilah sindiran bagi mereka yang telah menyelewengkan ilmu dari makna yang sebenar. Antaranya adalah gejala bebalisme, orang pandir yang wujud dalam pelbagai peringkat hari ini, fungsi pendidikan yang dilihat gagal, kemalasan orang kaya, gejala ketenanganisme dan sebagainya. Saya cuba mengupas salah satu subtopik yang dibincangkan dalam buku ini iaitu Gejala Bebalisme.

Bebalisme

Secara umumnya, bebalisme berpunca dari kata dasar ‘bebal’ yang menbawa maksud tumpul otak atau bodoh. Oleh yang demikian, maksud bebalisme itu sendiri akan memberikan kepada kita maksud yang cukup kasar. Tetapi, istilah bebalisme ini diulas oleh Syed Hussein Alatas dari sudut ilmiah dan beliau menolak pandangan bahawa pengunaan istilah bebalisme ini digunakan untuk merendahkan martabat seseorang.

Gejala bebalisme diibaratkan sebagai parasit dalam pemikiran masyarakat. Gejala ini menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutamanya dari segi keinginan dan kemampuan menuntut ilmu. Antara sikap yang ditunujkkan dalam gejala bebalisme ini adalah kelesuan berfikir, sikap acuh tak acuh, tidak berminat terhadap budaya ilmiah dan tidak mempunyai daya cipta yang baik. Paling ketara bagi mereka yang terperangkap dengan gejal ini ialah tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib serta tidak menaruh penghargaan terhadap budaya ilmiah itu sendiri.

Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah kemalasan intelek. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah. Oleh itu, gejala ini menyebabkan masyarakat membangun tidak lagi berminat mendapatkan ilmu pengetahuan berguna. Jika adapun usaha mencari ilmu, ini dilakukan bukan kerana niat ingin membantu masyarakat, tetapi disebabkan oleh pangkat, nama dan sebagainya.

“Menjadi salah satu ciri bebalisme untuk mengharapkan orang lain percaya pada apa yang dikemukakannya tanpa memberi alasan atau penjelasan apabila pokok permasalahan tersebut diluar dari pokok permasalahan biasa. Bebalisme juga tidak mempunyai kecintaan kepada hujah yang tertib dan rasional apabila membahaskan suatu pokok permasalahan atau isu."

Paling menyedihkan apabila Syed Hussien Alatas menegaskan bahawa gejala itu ditampilkan dan disambung daripada satu generasi ke generasi lain. Maka, nyatalah gejala itu sukar dihapuskan dan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan serta cara terbaik untuk keluar daripada gejala yang membelenggu masyarakat ini.

Penutup

Jika dilihat dari kupasan buku ini, saya sangat teruja kerana ia telah menampilkan kepada kita kajian-kajian ilmiah yang boleh dijadikan bahan ke arah membina peradaban Malaysia yang lebih cemerlang.

Buku ini juga wajar direnungi oleh semua mahasiswa, Ketahuilah bahawa jika anda berjiwa besar, Universiti tidak akan melahirkan anda sebagai seorang intelektual. Tetapi andalah yang harus membangunkan diri anda untuk mengecapi gelaran birokrat dan teknokrat. Dan anda jugalah yang harus ‘mendewasakan’ pemikiran anda, pengetahuan dan kepakaran anda untuk tampil dan muncul sebagai intelektual bangsa, masyarakat dan Negara.

Perbincangan diatas merupakan sebahagian yang dapat penulis kongsikan kepada pembaca terhadap hasil tulisan Syed Hussein Alatas ini. Banyak lagi aspek-aspek yang perlu diperhalusi untuk mewujudkan masyarakat yang berintelektual. Apa yang diulas merupakan perkara asas dalam perbincangan ini agar pembaca didedahkan secara ringkas terhadap perbincangan-perbincangan umum yang menyokong kepada perbincangan khusus terhadap tulisan Syed Hussein Alatas ini.

Penulis juga menyeru pembaca sekalian untuk mendapatkan buku ini di pasaran. Buku ini merupakan edisi kedua yang menampilkan kata-kata penghantar daripada Syed Farid Alatas. Edisi pertama buku ini diterbitkan oleh Syed Hussein Alatas pada tahun 1977.

Selain itu penulis juga ingin mengajak pembaca untuk menjadikan budaya membaca itu sebgai hobi dan kerjaya semasa diperingkat mahasiswa ini. Pembacaan bahan ilmiah yang bersifat ‘berat’ dari segi isi kandungannya akan membuatkan mahasiswa lebih banyak berfikir disamping dapat menajamkan pemikiran berdasarkan input-input yang banyak dan dinamik.

“Membijakkan Bangsa dengan membaca”