Sunday, March 21, 2010

Keyakinan Diri Anda

Artikel Motivasi Meningkatkan Keyakinan Diri : Keyakinan Diri Asas Kecemerlangan dan Kejayaan Diri

Pengertian Keyakinan
Keyakinan ialah kepercayaan yang tidak berbelah bagi. Keyakinan diri pula ialah kepercayaan bahawa dirinya boleh mengendalikan kehidupannya dengan baik serta segala cabaran yang dihadapi dengan jayanya.

Kepentingan Membina Keyakinan Diri
Kebolehan anda mengatasi segala halangan dalam hidup untuk mencapai kejayaan, banyak dipengaruhi oleh keyakinan diri anda. Ini bermakna lebih yakin anda terhadap diri anda serta masa hadapan anda, lebih terbukalah kejayaan untuk anda.

Jenis-Jenis Keyakinan
Pada hemat saya, terdapat 4 jenis keyakinan utama yang perlu kita miliki:

  • Keyakinan diri terhadap Tuhan dan KeesaanNya
  • Keyakinan terhadap diri sendiri
  • Keyakinan diri sendiri terhadap orang lain
  • Keyakinan orang lain terhadap diri sendiri
Punca-Punca Utama Ketidakyakinan Diri
  • Tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup
  • Tidak mempunyai prinsip hidup yang mantap
  • Kurang pengetahuan, pengalaman dan pendedahan
  • Kurang kemahiran dan persediaan
  • Suka bergaul dengan orang-orang yang berfikiran negatif, hala tuju yang tidak menentu atau tidak jelas, atau dilahirkan di kalangan orang-orang yang pesimis
  • Kemiskinan (Idea & Sains Kejayaan Hidup)
  • Berpenyakit kronik atau badan kerap kurang sihat / cergas
Petanda-Petanda Orang yang Kurang Keyakinan Diri
  • Kurang senyum
  • Risau dan kelihatan risau
  • Gugup dan kelihatan gugup
  • Kurang berinteraksi
  • Malas bekerja atau berusaha
  • Selekeh dan cincai
  • Bersikap meminta-minta
  • Mudah putus asa
  • Suka gossip dan mengumpat
  • Defensif dan cepat marah
  • Mudah atau suka berbohong
  • Keajaiban Keyakinan Diri
    Kejayaan datang kepada mereka yang dapat mengendalikan kehidupan dengan yakin dan cemerlang.

    Kisah Keyakinan Diri Joan of Arc amat menarik perhatian saya. Joan of Arc pada umur 17 tahun, seorang pengembala kambing biri-biri yang miskin di Perancis, amat percaya yang ia telah mendapat ilham dari Tuhan bahawa beliau harus mengetuai bala tentera Perancis untuk menentang tentera-tentera Inggeris yang amat sukar dikalahkan. Tentera-tentera Perancis telah kehabisan idea tentang bagaimanakah lagi cara menepis serangan-serangan serta mengalahkan tentera-tentera Inggeris. Kerana terlalu kekalutan, mereka telah merayu kepada sesiapa sahaja di kalangan rakyat Perancis untuk tampil ke hadapan memberi idea tentang bagaimanakah lagi cara menentang tentera-tentera Inggeris.

    Joan of Arc seorang gadis yang masih amat muda itu telah tampil ke hadapan dengan keyakinan yang begitu tinggi, berapi-api - amat yakin sekali - seyakin-yakinnya! bahawa ia telah mendapat ilham dari Tuhan yang dia sahajalah yang akan dapat memimpin bala tentera Perancis bagi mengalahkan tentera-tentera Inggeris. Keyakinannya yang sungguh kental dan mengkagumkan itu telah memberi harapan baru kepada pucuk pimpinan tentera Perancis. Beliau telah diberi tugas berat; mengepalai tentera Perancis yang sedang menghadapi kebuntuan dan kemelut itu!

    Artikel Motivasi Meningkatkan Keyakinan Diri : Keyakinan Diri Asas Kecemerlangan dan Kejayaan Diri
    Keyakinan si gadis lidi yang tidak dapat dipertikaikan lagi itu telah menyemarakkan semangat seluruh tentera dan rakyat Perancis. Dengan keyakinan dan pimpinan Joan of Arc, mereka telah mendapat semangat dan tenaga baru untuk menyerang balas dan menggempur tentera-tentera Inggeris dengan strategi peperangan yang berbisa serta keyakinan dan semangat juang yang tidak terperi tingginya! Ini telah amat meNGEJUTKAN tentera-tentera Inggeris sehingga hilang arah, kekuatan dan semangat walaupun jumlah mereka lebih ramai daripada tentera-tentera Perancis - kelamkabut serta bertempiaran tentera-tentera Inggeris! Lantas, Perancis meraih kemenangan besar!

    Inilah bukti KEAJAIBAN keyakinan diri!

    No comments:

    Post a Comment