Sunday, April 17, 2011



Assalamu’alaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia. Pertamanya syukur kita kepada Allah Azza wa Jalla kerana masih memberi kita nikmat masa untuk kita bertemu dalam lapangan laman sesawang yang merupakan medium untuk kita bersua secara maya. Moga Ukhuwah kita semua sentiasa meningkat dari masa ke semasa seiring dengan peningkatan waktu dan usia kita.

Sedar tidak sedar sudah sampai kita kepada penghujung semesta 2 bagi sesi 2010/2011 dan juga mahu tidak mahu peperiksaan akhir juga akan menjelang tiba. Jika sebelum ini persiapan untuk menghadapi peperiksaan akhir semesta ini dilakukan secara sederhana, maka tibalah masanya untuk kita semua mempersiapkan diri secara bersungguh-sungguh untuk menghadapi “perang exam” yang akan berlangsung dalam seminggu saja lagi. Begitulah lumrah seorang pencari ilmu, apabila kita sudah mendapatnya maka harus diuji akan kesahihan kefahaman ilmu yang diperolehi agar ianya boleh kita manfaatkan dalam kerjaya dimasa hadapan.

Jangan kita lupa dalam kesibukkan kita mengejar matlamat akademik, kita juga sama-sama harus meningkatkan lagi keterikatan ibadat kita kepada Allah s.w.t agar segala usaha yang dilakukan di Redhai dan di Rahmati oleh Allah s.w.t. Seharus dan semestinya, dalam minggu “Study Week” inilah kita mengoptimumkan usaha untuk mengatasi masaalah ketidak fahaman kita dalam subjek-subjek tertentu. Ada juga dikalangan remaja kita Mahasiswa menganggap bahawa minggu inilah merupakan minggu untuk berehat setelah penat menghadiri kuliah. Sebagai Mahasiswa yang cemerlang masa diibaratkan perkara yang amat berharga yang datangnya tidak kita meminta dan perginya tidak dapat kita halangi. Ianya tetap akan hadir dah seharusnya kita mengoptimumkan masa yang ada dengan pengisian ilmu dan ibadah pada Tuhan pencipta masa dan kita.

Betulkan kembali niat menuntut ilmu yang tidak lain tidak bukan adalah untuk mencari Redha dan Rahmat Allah s.w.t dalam mengisi sisa-sisa umur kita yang berbaki yang entah bila datangnya penghujung usia. Sesungguhnya dengan ilmulah islam akan dimuliakan kembali. Setelah berusaha sehabis mungkin, tangga tawakkal dan doa juga mesti dipanjatkan pada Sang Pemberi Nikmat iaitu Allah s.w.t agar jiwa dan hati kita lebih tenang dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan yang akan menjelma. Semoga kita semua dapat menjawab Peperiksaan Akhir dengan baik dan memperolehi keputusan yang cukup cemerlang. InsyaAllah.

Firman ALLAH yang bermaksud;

"dan apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH"
(Surah Ali-Imran: 159)

Kami di peringakat Pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) mengucapkan selamat menjawab Peperiksaan Akhir Tahun semesta 2 sesi 2011/2011 kepada sahabat-sahabat Mahsiswa yang akan bermua 25 April nanti. Buktikan bahawa kita Mahasiswa khususnya Mahasiswa Islam dapat menjadi titik rujuk dan dapat mencorak momentum kepada perubahan akademik di Universiti kita yang Tercinta ini. be the best beat the rest.


“ BERSAMA MEMBANGUN UMMAH ”

Daripada saf Kepimpinan PMIUTM sesi 2010/2011

No comments:

Post a Comment