Tuesday, November 22, 2011

MENGAPA RASA DIRI HILANG TARBIAH SELEPAS BERSAMA DENGAN HARAKAH ISLAMIAH

“dulu sebelum ana bergiat dalam kerja dakwah, tarbiah ana mantap, tapi bila bergerak dalam kerja dakwah ana rasakan tarbiah ana sudah hilang, solat tahajud pun rasa susah dan...bla bla..” mendengar luahan kata sahabat tentang masalah ini membuatkan saya terfikir akan keadaan yang dialaminya, membuat saya bermuhasabah sedalam-dalamnya. Sambil itu saya teringat akan firman Allah dalam surah at-taubah ayat 42 “

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "

Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”

Dalam ayat ini Allah swt memberitahu kepada nabi SAW tentang kesukaran dalam membawa perjuangan islam ini, kesukaran mengajak kaumnya mengabdikan diri kepada Allah secara totalnya. Kerana mereka yang diseru itu tidak nampak akan kepentingan yang ada pada masa sekarang. Dan dalam ayat yang sebelumnya Allah memberitahu kepada pejuang-pejuang islam ini dengan feil amar,suruhan untuk terus berangkat dalam perang walau dalam keadaan apa sekalipun.

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.” At-taubah : 41

Menyedari hakikat ini, orang yang sudah dipilih Allah SWT untuk membawa dakwah pasti mengiyakan hal ini, sukar dan bermacam-macam lagi ujian yang Allah berikan. Sambil mendalami akan isi al-quran ini, saya teringat akan sebuah buku yang dikarang oleh Almarhum Fathi Yakan yang bertajuk bahtera penyelamat. Di bahagian pertama membincangkan mengenai Rintangan Perjuangan Dakwah Dalam Kehidupan Pendakwah. Antara yang disenaraikan adalah: Orang mukmin yang dengki kepadanya Orang munafik yang benci kepadanya Orang kafir yang memeranginya Syaitan yang menyesatkan Nafsu yang merangsangnya 4 point yang terawal membincangkan permasalahan yang disebabkan oleh pihak lain, dan point yang kelima menyebut akan rintangan itu juga bermula dalam diri seorang pendakwah.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang isi tersebut, cumanya ingin mengajak rakan-rakan pembaca berfikir, akan ujian yang Allah berikan kepada kita sebelum dan selepas kita berintima’ dengan harakah islamiah. Dulunya kita rasakan tidak punyai mad’u untuk membawa mereka bersama untuk mengenal Allah SWT apatah lagi tugasan membawa risalah islam, bukannya tidak ada, mungkin tidak mengendahnya kerana tidak merasakan ia adalah satu tanggungjawab sebagai orang islam. Kini Allah SWT memilih saya dan rakan-rakan pembaca mungkin, diberikan kefahaman untuk memegang bara api membawa risalah islam, menjadikan ia sebagai satu kewajiban yang mesti dilunaskan. Kerana apa? Allah SWT memilih kita. UJIAN?? Bagaimana? Sudah tentu ianya berlainan sebelum dan selepas.

Dulunya kita bersendirian memandu diri, kini kita memasang tempat duduk berlebihan untuk dinaiki oleh orang lain, dan ada juga memasang enjin turbo(menelaah,membina gedung ilmu) agar pemanduannya lebih sedap dan lancar. Dan ia memerlukan mujahadah yang tinggi, masakan tidak,dulunya syaitan yang cuba mengalahkan kita adalah prebek, tetapi bila Allah menitipkan kefahaman untuk membawa orang lain agar mengabdikan diri kepada Allah sudah tentu syaitan tidak senang duduk, pastinya dihantar pangkat yang tinggi sedikit kepada kita. Maka ujian yang diterima adalah berlainan. Dan ujian yang Allah berikan tidak lain dan bukan untuk meninggikan martabat pejuang agama Allah. Point yang kelima dalam buku bahtera penyelamat (bahagian pertama) perlulah kita renung bersama.

Bagaimana kita memelihara hati agar terus hidup, bagaimana kedudukan hati dalam diri dan bagaimana mujahadah kita dalam memerangai nafsu. Marilah bersama-sama kita muhasabah diri. Bukan orang lain yang perlu disalahkan, tetapi marilah lihat diri sendiri. Ahli dalam harakah islamiah sering menjadikan kekurangan pimpinan sebagai alasan mereka tidak menerima tarbiah yang sebaiknya. Sebagai ahli yang memahami, pembentukan diri juga perlu dimainkan oleh diri sendiri, akal yang diberikan Allah untuk kita berfikir, kekurangan pada diri perlu ditampung dengan ilmu, zikir, ibadah kepada Allah. Dan kejayaan sesuatu harakah islam juga bukan semata-mata terletak kepada pemimpinnya, tetapi juga ahlinya.

Sejarah juga membuktikan bahawa rakyat/ahlinya memainkan peranan yang penting dalam memenangi sesuatu peperangan oleh tentera islam. Sebagai contoh ketika al-fateh mengalami kesukaran menundukkan Romawi Byzantium di Konstantinopel, beliau melakukan operasi menyelidik sejauh mana akhlak tenteranya dan didapatinya ada seorang tentera yang sedang minum arak. Solahuddin al-Ayyubi berpura-pura sakit dan berpakat dengan doctor peribadinya supaya mengumumkan kepada rakyat bahawa sultan sakit dan penawarnya adalah air arak.

Maka tidak ada arak yang sampai kepadanya dan diselidiki seluruh khemah maka tiada arak juga. Kemudian al-Ayyubi bangun dan bersedia untuk berperang kerana tenteranya bersih dari kotoran maksiat. Maka benarlah juga Rasulullah SAW. Dalam satu riwayat, Baginda SAW terlupa bilangan rakaat dalam solat. Lalu baginda SAW dengan penuh berhikmah menyebut, “barangkali ada diantara kalian yang tidak sempurna wudhuknya”. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberikan kesan negatif tanpa disedari kepada pimpinan atasan. Rakan-rakan pembaca sekalian, sedikit renungan buat diri saya jua. Tulisan ini saya cuba rungkaikan berdasarkan masalah yang pernah saya terima dan dicerita oleh sahabat-sahabat saya. Moga-moga ia bermanfaat. Ianya juga bermula dari diri, bukan salah orang lain. Menjadi sebahagian dari harakah islam bermakna kita juga sebahagian dari pencetus kemenangan atau kekalahan sesuatu harakah.

Fahamilah sejarah banyak membuktikan, apabila tentera islam mengetepikan soal kebersihan hati, mereka menempa kekalahan bukan lagi kemenangan. Malah Allah SWT akan menghina mereka dengan kekalahan yang teruk dan memalukan sebagaimana yang pernah berlaku dalam peristiwa Pelanggaran Tartar. Persoalan merasakan diri hilangnya tarbiah sesudah bersama harakah islam, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu melalui tulisan yang tidak seberapa terperinci ini. INGAT sebelum dan selepas adalah lain, maka ujiannya adalah lain. Moga Allah memandu hati saya jua dalam membina jiwa yang besar sebagai abnaul harakah.Wassalam.

No comments:

Post a Comment